FAMILY | BUKIT JELUTONG ECO COMMUNITY PARK

2021 Hasif Rahman – Family Time | Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

” Other things may change us, but we start and end with the family “

– Anthony Brandt –

Al-kisahnya Selangor setakat 1 September 2021 masih lagi di dalam Fasa 1 : Pelan Pemulihan Negara. Walaupun begitu beberapa kelonggaran telah diberikan selaras dengan peningkatan peratusan vaksinasi di Selangor. Antara kelonggaran yang dibenarkan adalah aktiviti perkelahan/perkhemahan dan setiap keluarga dibenarkan juga untuk membawa anak-anak mereka yang berusia 17 tahun dan ke bawah. Sebagai ingatan, walaupun anda telah lengkap vaksinasi, SOP terutamanya penjarakan fizikal masih perlu diamalkan.

Bila difikirkan kembali, lama sungguh terasa anak-anak terkurung di rumah akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan. Kelonggaran yang diberikan ini merupakan masa terbaik untuk membawa mereka melihat dunia luar. Walaupun mereka masih tidak mengerti, tetapi sebagai ibu dan bapa, kebosanan anak-anak setelah begitu lama di rumah dapat dilihat dengan jelas.

Dipermudahkan urusan, isteri memaklumkan terdapat satu kawasan rekreasi “hidden gems” di Bukit Jelutong yang mesra keluarga dinamakan Eco Community Park dan hanya 8 kilometer sahaja dari rumah. Maka tanpa berfikir panjang, keputusan diambil, ke sana kita bersama anak-anak.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Peta Lokasi Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Sedikit sejarah mengenai taman rekreasi ini yang saya perolehi dari laman Facebook Page, Bukit Jelutong Eco Community Park, terletak di Jalan Lelangit U8/45, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor. Taman rekreasi ini telah ditubuhkan pada tahun 2010 oleh Bukit Jelutong Resident yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Megat Fairouz Junaidi bin Tan Sri Megat Junid.

Penubuhan ini telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dengan tujuan sebagai taman rekreasi awam. Pada asalnya lokasi ini merupakan kawasan tanah rizab TNB dan Sungai & Saliran. Sekiranya anda di sana, kesan-kesan pembinaan bagi tujuan saliran masih boleh dilihat setakat 1 September 2021.

Pihak pengurusan di sini merupakan gabungan Persatuan Lestari Alam Malaysia dan Eco Free Market. Sewaktu lawatan ke taman rekreasi tersebut, boleh dilihat beberapa petugas yang memantau keadaan sekeliling.

Sekiranya anda berminat, sumbangan boleh diberikan kepada pengurusan untuk memastikan kawasan ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan dinaiktaraf bagi tujuan keselesaan dan keselamatan pengunjung. Mereka yang berminat untuk memberi sumbangan boleh melawat Facebook Page mereka. Search sahaja Bukit Jelutong Eco Community park dan anda akan jumpa posting dengan link berkaitan sumbangan.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Laluan Masuk Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Berbalik semula kepada cerita, setibanya di sana apa yang saya lihat, laluan masuk ke taman rekreasi ini sedikit curam tetapi curamnya tidak terlalu fizikal/mencabar bagi pengunjung kecuali sekiranya anda berkerusi roda. Walau bagaimanapun, jangan risau kerana pengunjung boleh membawa masuk kenderaan sehingga ke kawasan parkir yang telah disediakan oleh pihak pengurusan.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Pakir Kenderaan Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Ruang parkir yang disediakan adalah terhad terutamanya pada hari minggu. Selain daripada ruang parkir yang terhad, saya dapati pengunjung akan menghadapi sedikit kesukaran bagi laluan ke taman rekreasi kerana laluan masuk dan keluar menggunakan laluan yang sama. Kesukaran yang dimaksudkan adalah apabila berselisih kenderaan bagi kenderaan yang hendak masuk dan juga kenderaan yang hendak keluar. Ini adalah kerana keluasan laluan tersebut hanya seluas sebuah kenderaan setelah sebahagiannya digunakan sebagai parkir. Disini kesabaran dan kerjasama di antara pengunjung diperlukan apabila menghadapi situasi tersebut.

Bagi yang membawa masuk kenderaan ke kawasan parkir, di hujung kawasan parkir tersebut anda dapat lihat terdapat ruangan untuk pengunjung membuat pusingan kenderaan. Ini memudahkan pengunjung untuk membawa keluar kenderaan setelah selesai menggunakan taman rekreasi tersebut.

Kesukaran yang dihadapi di laluan masuk dan keluar bukan penghalang kepada pengunjung. Ini kerana terdapat alternatif di mana kebanyakkan pengunjung akan meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama sebelum laluan masuk ke taman rekreasi dan bergerak ke taman rekreasi secara berjalan kaki. Jarak di antara jalan utama dan taman rekreasi tersebut tidaklah begitu jauh. Semuanya “walking distance“.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Wakaf Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Di taman rekreasi tersebut, disekeliling tasik buatan, terdapat beberapa wakaf yang disediakan untuk pengunjung beristirehat dan setiap wakaf mempunyai beberapa rekabentuk. Konsepnya wakaf ini “first come first serve“.

Anda boleh duduk dengan tenang di wakaf sambil menikmati suasana dan melihat telatah fauna seperti angsa dan itik berenang bebas di tasik tersebut secara berkumpulan. Di masa tertentu, pengunjung boleh melihat angsa dan itik ini diberi makan.

Sepanjang berada di sana, saya juga melihat ada beberapa orang kaki pancing yang sedang beraksi. Melihat pada posting di Facebook Page taman rekreasi ini, kawasan ini sememangnya dibenarkan untuk memancing cuma saya tidak pasti ikan apa yang ada di tasik buatan ini.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Flora dan Fauna Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Kami sekeluarga agak terpegun dengan kawasan sekitar walaupun lanskap dan prasarana masih belum sempurna. Beberapa kawasan di taman rekreasi, masih nampak kesan-kesan lanskap dan prasarana masih dalam proses dibina.

Mereka yang berminat, kawasan ini sangat sesuai bagi tujuan perkelahan memandangkan kawasannya yang luas serta terdapat kemudahan asas seperti paip air, tandas dan juga surau. Anda hanya perlu bentang tikar, pekena kopi panas, nikmat! Kebersihan kawasan jangan lupa. Pastikan tiada sampah yang ditinggalkan sebelum anda bertolak pulang.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Sedang berjalan menikmati kawasan yang tenang ini, kelihatan beberapa keluarga sedang mengadakan aktivit berkelah dengan anak-anak mereka sedang bebas bermain. Ada juga yang duduk di jeti kecil yang disediakan di tepi tasik tersebut, dan ada juga yang bersenam berjalan kaki di kawasan sekitar.

Saya tidak pasti adakah kawasan ini dibenarkan untuk aktiviti perkhemahan walaupun nampak bersesuaian. Mungkin mereka yang berminat boleh menghubungi pengurusan dahulu. Namun apa yang pasti, setiap hari pada waktu petang, taman ini tidak pernah lengang walaupun pada hari bekerja. Sentiasa ada pengunjung yang hadir untuk melakukan aktiviti.

Untuk pengetahuan anda, taman rekreasi ini sebenarnya sangat luas. Bukit di belakang seperti di dalam gambar masih berada di dalam kawasan taman rekreasi ini. Saya lihat ada beberapa pengunjung berada di puncak tersebut untuk mengambil gambar sekeliling.

Laluan ke puncak tidak begitu mencabar tetapi penat mendaki itu pasti ada. Saya tidak sempat untuk berbuat demikian memandangkan ada anak-anak kecil bersama saya. Mungkin pada lawatan di lain hari, saya cuba lihat apa yang ada di atas sana.

2021 Hasif Rahman – Family Time | Bukit Jelutong Eco Community Park, Shah Alam

Saya sebenarnya tiba di taman rekreasi ini agak lewat petang, iaitu sekitar jam 6.30. Maka tidak lama masa yang dapat diluangkan. Namun masa yang singkat itu terasa kepuasannya. Lebih-lebih lagi setelah begitu lama merenung empat dinding batu dalam keadaan pergerakan terbatas akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan.

Dapat juga saya melepaskan gian membuat posting ala-ala travel yang telah tergendala hampir setahun lebih.

InsyaAllah dalam masa terdekat apabila dibenarkan rentas negeri bagi yang telah lengkap vaksinasi, pelancongan dalam negeri kita usahakan. Stay Safe everyone !

-Semua gambar diambil dengan Leica Camera

3 thoughts on “FAMILY | BUKIT JELUTONG ECO COMMUNITY PARK

  1. hiii assalamualaikum.. boleh saya tahu park ni private ataupun tak? kalau nak masuk untuk photoshoot, perlu call orang tempat situ untuk booking ke?

    Like

    1. Waalaikummussalam. Maaf atas kelewatan. Park ni awam setakat ni. Saya pun dari luar, bukan penduduk taman. Haha. Setakat ni kalau shoot biasa2 ada je nampak orang buat. Tp kalau skala besar mcm buat filem ke, perlu kot. Situ pun pernah ada drama Melayu buat lokasi perfileman

      Like

Leave a comment